Sebanyak 13 pasukan termasuk enam pasukan Liga Perdana berjaya ke pusingan kedua Piala FA setelah mengalahkan lawan masing-masing pada perlawanan pusingan pertama semalam.

Pasukan yang layak ialah Sarawak, Lions XII dari Singapura, Terengganu, Kedah, T-Team, Perlis, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC), Pahang, Sabah, Selangor PKNS FC, Sime Darby FC dan Felda United.

Pasukan Liga Perdana yang mara ke pusingan kedua kalah mati ialah Kedah, Perlis, Sabah, PDRM, Felda United dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC).

Manakala pasukan Liga Super yang layak ke pusingan kedua ialah Lions XII dari Singapura, Terengganu, T-Team, Pahang, Selangor PKNS FC, Sime Darby FC dan Sarawak.

Satu lagi slot pusingan kedua menjadi rebutan antara Selangor dan Harimau Muda C yang berlangsung petang ini.

Di Stadium Negeri Kuching, penyerang import Gabor Gyepes menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan untuk membantu Sarawak mengatasi Pulau Pinang 2-1.

Sarawak membuka jaringan menerusi penyerang import dari Iran, Aliredza Abbasfard pada minit ke-76 sebelum Pulau Pinang menyamakan kedudukan menerusi Mohd Baser Mahamad pada minit ke-90.

Di Stadium Bishan, Singapura, juara Liga Super musim lepas, L:ions XII tidak menghadapi kesukaran untuk mengalahkan DRB-Hicom FC 3-0.

Penyerang berbisa pasukan tuan rumah, Sufian Anuar membuka jaringan pada minit ke-27 sebelum pemain tengah Gabriel Quak menggandakan jaringan pada minit ke-53 dan Faris Ramli mengesahkan kemenangan mutlak apabila menjaringkan gol pada minit ke-90. Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, penyerang import Marcio Souza Da Silva menghasilkan dua gol pada minit ke-11 dan 41 untuk membantu Terengganu mengalahkan Shahzan Muda 4-0.

Gol lain dijaringkan oleh Abdul Manaf Mamat pada minit ke-34 dan Zairo Anuar Zailani pada minit ke-76. Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, penyerang import Adam Grifith menjaringkan dua gol pada babak kedua untuk membantu Kedah menewaskan Kuala Lumpur 4-0.

Gol skuad ‘Hijau Kuning’ itu diperolehi menerusi jaringan Khairul Helmi Johari pada minit ke-58 dan Mohd Kyril Muhymeen Zambri pada minit ke-65 sebelum Grifith melakukan jaringan pada minit ke-67 dan 77.

Sementara itu, juara Piala Sumbangsih, Pahang terpaksa berkerja keras untuk mengalahkan Perak menerusi sepakan penalti 5-4 apabila keputusan terikat 2-2 selepas masa tambahan.

Dalam pada itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Sime Darby melakukan kejutan apabila menyingkirkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1.

Juara dan naib juara Piala FA musim lepas iaitu Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama dan akan mula beraksi di pusingan kedua pada 4 Feb ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengekalkan format kalah mati bagi pusingan pertama dan kedua Piala FA.

– Bernama

Leave a Reply